Serangan ke atas Zara Perang_Salib_Keempat

Pasukan tentera salib yang bertolak dari Venice berjumlah 12,000, kurang dari jumlah yang dijangkakan. Venice yang sudah bersiap sedia dengan kapal-kapal besar cukup untuk tiga kali ganda jumlah tentera yang sepatutnya bertolak dari Venice. Tentera salib tidak mampu membayar Venice jumlah yang dijanjikan. Perkara ini merugikan pihak Venice kerana mereka terpaksa menghentikan kegiatan perdagangan untuk menyiapkan keperluan ekspedisi tentera.

Pihak Venice dan tentera salib akhirnya berjaya mencapai kata sepakat. Venice mahukan tentera salib membantunya menyerang kota Zara yang juga sebuah kota kristian[5]. Zara pernah didominasi oleh pedagang Venice tetapi memberontak pada tahun 1181 dan bersekutu dengan Raja Emeric dari Hungary yang merupakan musuh kepada Venice.

Terdapat dari kalangan tentera salib tidak bersetuju menyerang Zara dan kembali ke tempat mereka tetapi wakil Paus dalam tentera salib bersetuju dengan syarat Venice untuk mengelakkan kegagalan Perang Salib. Paus Innocent bimbang dengan perkembangan ini dan menulis surat kepada pemimpin tentera salib mengancam untuk menyisihkan (excommunicate) mereka[6] sekiranya tentera salib meneruskan hasrat mereka menyerang Zara. Surat ini bagaimanapun disembunyikan dan serangan ke atas Zara diteruskan.

Walaupun menzahirkan mereka sebagai Kristian Katolik dengan menggantung kain bercorak palang di tingkap dan dinding kota, Zara jatuh ke tangan tentera salib dan Venice dalam kepungan yang singkat.